Siapa Guan Eng, DAP nak halang saya bertanding bawah PH? – YB Beliau



Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tiada hak untuk menghalangnya bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada hujung bulan depan.

Malah, menurut bekas Adun DAP itu, dia menerima pelbagai tawaran kerjasama daripada pelbagai parti untuk PRN tersebut pada 20 November ini.

“Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya? Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.

“Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya lapor portal Free Malaysia Today hari ini.


Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lim baru-baru ini yang menegaskan bahawa DAP tidak akan menerima jika Norhizam  dinamakan semula sebagai calon untuk PH dalam PRN Melaka.

"Saya nak tegaskan bahawa DAP tolak sama sekali YB Pengkalan Batu (Norhizam) sebagai calon dalam PRN ini. Itu sahaja," kata Lim.

Sementara itu, Norhizam berkata dia menerima tawaran daripada "banyak" parti.

“Setakat ini banyak parti yang dah ‘offer’ saya, parti mana, kita akan tengok nanti,” katanya.

Norhizam pada PRU ke-14 lalu dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH dan memenangi kerusinya itu sebelum dilantik menjadi salah seorang exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun dia berpaling tadah dengan meninggalkan PH dan menjadi penyokong BN-Perikatan Nasional sehingga gabungan itu kemudian membentuk kerajaan baru.


Baru-baru ini dia bersama tiga Adun lain - termasuk bekas ketua menteri Idris Haron - menarik semula sokongan yang diberi kepada kerajaan negeri pimpinan BN itu sehingga menyebabkan ketua menteri Sulaiman Md Ali kehilangan majoriti dan membawa kepada terbubarnya DUN Melaka.

Mengulas mengenai tindakan menarik semula sokongan tersebut, Norhizam berkata dia tidak akan sesekali bersekongkol dengan kemungkaran dan kebatilan yang berlaku secara terang-terangan di depan matanya.

“Saya berjuang kerana mempertahankan maruah kerana kejahilan, kebatilan dan kemungkaran itu berlaku di depan mata saya. Saya tolak, saya tak nak, saya ada prinsip, kalau tak betul, tetap tak betul, betul kita kata betul.

“Prinsip saya, (dalam) saya nak membantu rakyat negeri Melaka, saya (sanggup) gadaikan maruah, masa depan, politik, kedudukan, gaji saya, kereta saya, sedangkan saya boleh tutup mata duduk diam-diam. Kita (orang) bermaruah,” katanya.

Terbaru, keempat-empat Adun itu dilaporkan diberi sambutan sebagai wira dalam satu majlis anjuran PH malam semalam sehingga mengundang rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin DAP serta PKR. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram