Bayaran sagu hati jurunikah, dua saksi naik di Pulau Pinang



GEORGETOWN: Bayaran sagu hati kepada jurunikah dan dua saksi nikah di Pulau Pinang dinaikkan daripada RM120 kepada RM250 bermula 1 Mac ini. 

Menerusi surat yang tular dalam media sosial menyatakan, Mesyuarat Majlis Agama Islam negeri yang bersidang pada 8 Disember lalu bersetuju meluluskan cadangan itu. 

“Kenaikan daripada RM120 kepada RM250 itu membabitkan jurunikah berjumlah RM150 serta saksi pertama dan kedua berjumlah RM100. Sehubungan itu, kadar baharu itu akan berkuat kuasa 1 Mac ini. 


“Perkara ini akan dihebahkan kepada pegawai dan kakitangan di semua Pejabat Agama daerah di negeri ini,” kata surat berkenaan. 

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd. Zakuan Zakaria ketika dihubungi mengesahkan mengenai kenaikan kadar sagu hati bagi jurunikah dah dua orang saksi berkenaan. 

Katanya, kadar upah lama iaitu RM20 bagi setiap dua orang saksi adalah kadar yang ditetapkan sejak 15 tahun lalu. 

“Kadar sagu hati baharu ini iaitu RM100 bagi dua orang saksi (setiap seorang RM50) adalah berpatutan sebagai sagu hati kepada jasa saksi-saksi majlis akad nikah ini. 


“Tambahan pula, kadar lama hanya RM10 bagi setiap saksi sudah terlalu lama digunakan iaitu sejak 15 tahun lalu,” katanya. 

Tambahnya, tugas jurunikah dan saksi juga bukan mudah kerana mereka bertanggungjawab memastikan majlis akad nikah berjalan lancar mengikut syariat yang ditetapkan. 

“Sebelum ini, menerusi tinjauan yang dijalankan kita dapati kadar upah saksi terlalu rendah, jadi kadar terkini ini diharapkan dapat membantu mereka,” katanya. – Utusan





Join our Telegram Channel
Telegram