TERKINI: 500 ahli PKR keluar parti, sertai MIC



SUNGAI PETANI: Hampir 500 orang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Merbok dekat ini mengambil keputusan keluar daripada parti itu dan menyertai MIC semalam.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Kebangsaan, Dr. T. Novalan berkata, mereka mengambil tindakan itu setelah mendapati pucuk pimpinan parti itu di negeri ini tidak mengambil berat terhadap ahli-ahlinya selepas Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa lagi sebagai kerajaan.


“Mereka bertindak meninggalkan PKR kerana percaya MIC Kedah dapat membela nasib mereka pada masa hadapan,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MIC Kedah, Datuk S. Ananthan; Ketua Pemuda MIC Kedah, J. Jeevabalan dan Pengerusi MIC Bahagian Merbok, J. Palanivellu.

Novalan berkata, mereka juga percaya MIC adalah satu-satunya parti yang melindungi dan menegak hak kaum India di negara ini.


“Bekas ahli PKR itu tidak mahu membuat kesilapan lagi selepas dan mahu memberi sokongan padu kepada MIC,” jelasnya.

Sementara itu, seorang bekas ahli PKR dari Taman Bandar Baharu, N. Letchumanan, 56,  berkata, dia mengambil keputusan meninggalkan PKR setelah berpuas hati dengan perkhidmatan kepimpinan MIC Kedah yang prihatin terhadap masyarakat India di negeri ini.

“Pemimpin MIC lebih bagus dalam menjaga kebajikan masyarakat India termasuk mereka yang terkesan pada pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu,” katanya. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram