Bob Lokman makin lemah, sakit jantung, perut mengeras



Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, 58, kini kurang baik apabila jantungnya lemah dan sakit perut sejak lebih seminggu lalu.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia sekarang lebih banyak berehat di atas katil dan berjalan di dalam rumah saja kerana cepat penat dan sukar bernafas.

"Keadaan kesihatan saya sekarang memang tidak menentu. Sejak lebih seminggu lalu terasa agak teruk sedikit sebab jantung lemah dan sakit perut. Sekarang pun, perut saya keras dan sukar membuang air.


"Saya pun tak tahulah apa sebenarnya sakit ini sebab belum jumpa doktor lagi untuk pemeriksaan lanjut. Temujanji saya dengan doktor di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 27 Mac ini," katanya kepada Harian Metro.

Bob yang menetap di Kelantan berkata, buat masa ini dia duduk di rumah sehingga ke tarikh itu memandangkan ubat yang dibekalkan pihak hospital masih ada.

Menurut Bob, dia sebenarnya trauma untuk ke hospital selepas menjalani rawatan laser di jantungnya, pada 3 Oktober tahun lalu yang didakwanya sangat menyakitkan.

Ia sedikit-sebanyak membuatkan Bob fobia dan tidak mahu melaluinya lagi.

"Saya juga dah lama sangat sakit. Walaupun semangat nak sihat itu ada, tetapi dari segi psikologi terganggu juga. Macam-macam yang saya fikirkan.


"Saya juga tidak boleh memandu lagi sekarang. Jika hendak ke mana-mana, anak yang akan bawakan. Saya mohon doakan kesihatan saya baik-baik saja," katanya yang turut memaklumkan isteri, Relawati Daud dan anak kini mengurus perniagaan bubur daging dan serunding daging sejak dua tahun lalu.

Terdahulu, Bob pernah dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Sultanah Bahiyah pada 1 Oktober tahun lalu berikutan jantungnya pada bahagian atas tidak berfungsi dengan baik.

Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama itu turut menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu 'Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di hospital berkenaan pada awal Disember 2020 lalu. – Hmetro

 

Join our Telegram Channel
Telegram