CEO Pfizer umum individu perlu suntikan vaksin dos ke-4 Covid-19



Dr. Albert Bourla, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer baru-baru ini memaklumkan bahawa kebanyakan individu perlu mendapatkan dos suntikan vaksin Covid-19 yang keempat.

Berita yang dilaporkan menerusi akhbar New York Post kelmarin ini dikatakan suntikan tersebut perlu melindungi diri daripada penularan jangkitan Covid-19 ini selepas perlindungan sedia ada (suntikan dos pertama, kedua dan dos penggalak) semakin berkurangan.


Menurut Bourla lagi, beliau turut mengakui bahawa suntikan dos keempat tidak dapat dielakkan berikutan dua suntikan awal serta dos penggalak tidak dapat melindungi orang ramai daripada semua varian Covid-19 kerana dikatakan kekuatannya akan pudar.

“Pada masa ini, perlindungan yang diperoleh daripada suntikan dos ketiga (dos penggalak) sudah cukup baik untuk mengelakkan kemasukan ke hospital dan sakit teruk.

Pun begitu, ia tidak begitu baik untuk melawan jangkitan serta ia juga tak dapat bertahan lama,” jelas Bourla.


Di samping itu, dilaporkan juga bahawa Pfizer serta syarikat-syarikat farmaseutikal lain sedang berusaha menghasilkan dos vaksin yang akan melindungi manusia daripada sebarang varian pada masa hadapan.

“Kami sedang berusaha dengan gigih untuk menghasilkan bukan sahaja vaksin yang dapat melindungi manusia daripada semua varian termasuk Omicron, tetapi juga dapat memberikan perlindungan sekurang-kurangnya dalam masa setahun,” ujar Bourla lagi. – LobakMerah

 

Join our Telegram Channel
Telegram