Kes dadah anak Vincent Tan: Tuduh atau tidak itu kena tanya Pejabat Peguam Negara – Ayob Khan



KUALA LUMPUR - Hasil siasatan membabitkan kes pertuduhan anak ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang ditangkap atas kesalahan dadah telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan berlaku pada Disember 2019 dan keputusan untuk mendakwa suspek mengikut seksyen berkaitan bergantung kepada AGC.

"Tuduh atau tidak itu kena tanya Pejabat Peguam Negara (AGC) kita, dah buka siasatan pada Disember 2019 dan sudah menyerahkan hasil siasatan.


"Kita tidak terima sebarang laporan polis berhubung perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.

19 Februari lalu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan dakwaan dirinya menerima rasuah semasa mengendalikan kes jenayah melibatkan anak lelaki ahli perniagaan terkenal terbabit.

Kata Tommy, selepas tertuduh didakwa, peguam-peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar keputusan pertuduhan dipertimbangkan semula.

Dakwaan terhadap Tommy Thomas itu dibuat di akaun Twitter Edisi Khas dalam satu hantaran.

Dalam ciapannya, Edisi Khas mendakwa salah seorang anak lelaki Vincent Tan ditahan atas kesalahan dadah pada 2019 tetapi telah ditutup oleh Tommy Thomas. – Sinar








Join our Telegram Channel
Telegram