KWSP: Permohonan pengeluaran khas mulai 1 April



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April 2022.

"Tarikh akhir permohonan adalah pada 30 April 2022 manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April depan," demikian menurut KWSP dalam satu kenyataan.


Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, serta perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun Dua mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun Satu.

"Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak," jelas KWSP.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas hari ini berkata kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP itu bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.


Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram