Tiada lagi pengeluaran caruman KWSP – CEO



PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bercadang membenarkan lagi pengeluaran oleh pencarum menerusi idea i-Ceria seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebagai pengurus dana persaraan perkara yang perlu diutamakan kini ialah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarumnya.

“Tiga skim pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sudah pun berakhir di mana kemudahan pengeluaran terakhir adalah i-Citra pada bulan lalu.


“Adalah penting bukan hanya melihat kepada permintaan itu (idea i-Ceria) tetapi juga konteks utama KWSP seperti yang saya bentangkan iaitu mengutamakan bekalan simpanan untuk pekerja yang sudah bersara,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan prestasi kewangan KWSP 2021 di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan i-Ceria KWSP, iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Mohd. Salim ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat berkata, hal itu kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram