Mesej bapa ambil kereta sebelum terjun jambatan



BERA – Seorang lelaki berusia 28 tahun dari Felda Triang 1 di sini dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Pahang dari Jambatan Guai kelmarin tidak menunjukkan sebarang sikap pelik sebelum kejadian.

Bapa mangsa, Jamaludin Awang Hassan, 59, berkata, mangsa hanya memaklumkan kepadanya melalui aplikasi WhatsApp agar mengambil kereta yang diletakkan di atas jambatan berkenaan.

“Dia langsung tidak menunjukkan sikap-sikap pelik. Malam sebelum kejadian, dia tolong saya uli tepung untuk buat roti canai sebagai persiapan berniaga keesokan harinya.


“Esoknya, dia ada mesej saya bagitahu hendak keluar rumah. Lebih kurang 45 minit lepas tu, dia mesej lagi cakap suruh ambil kereta dekat jambatan Kuala Triang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia cuba bertanya samada kereta rosak namun tiada jawapan sehinggalah dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya apabila kereta milik anaknya tersebar menerusi grup WhatsApp.

Sehingga kini mangsa Mohd. Ibrahim Suhaimi yang dikhuatiri lemas  selepas dipercayai terjun dari Jambatan Guai ke dalam Sungai Pahang kira-kira pukul 4.00 petang kelmarin masih belum ditemukan.

Menurut Jamaludin dia berharap agar anaknya itu segera ditemui memandangkan sudah lebih 24 jam mangsa hilang.


Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Muhammad Redzuan Rahimpudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada pukul 6 petang semalam sebelum disambung hari ini.

Menurutnya, semalam semua anggota bomba termasuk anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung melakukan operasi SAR dalam radius 12 kilometer bermula dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

“Pasukan skuba bomba turut melakukan pencarian dengan menyelam di tiga lokasi berbeza. Operasi SAR juga dilakukan tanpa henti di sepanjang 12 kilometer sehingga ke Kampung Kuala Bera,”ujarnya. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram