Najib jangan sembang, saya tunggu ‘surat cinta’ anda, kata Chegubard



PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata beliau tidak akan “mengalah” dengan ugutan saman oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung ayat “Apa lagi Cina mahu?”.

“Setakat ini dia sembang saja. Saya alu-alukan saman dari dia (Najib). Sudah pasti akan ada saman balas, kalau saman itu bukan sumber dari saya,” kata Chegubard kepada FMT.

Bagaimanapun, Chegubard berkata setakat ini masih belum ada sebarang “surat cinta” atau notis saman daripada bekas perdana menteri itu sampai ke pihaknya.


“Tiada (saman), tiada apa pun. Najib ni biasalah, dia nak saman Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa tapi tak saman-saman. Dia nak saman Muhyiddin (Yassin), tak saman-saman,” katanya yang mendakwa Najib cuba mengalihkan isu kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya.

“Penafian tu hanya nak tunjuk dia hebat, dia betul. Isu sebenar ialah dia nak alih isu sabitan dia dengan kes 1MDB.”

Semalam, Najib berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chegubard kerana memfitnah beliau berhubung ayat “Apa lagi Cina mahu?”.

Katanya, beliau sudah memberikan tempoh 24 jam kepada Chegubard untuk menafikan tuduhan itu, namun beliau enggan “mengalah”.


“Dia kata memang ada bukti muka hadapan Utusan dan ‘beberapa media’ pernah melaporkan ucapan ugutan saya tersebut pada 2013. Bebalnya.

“Tak payah buang masa dengan individu yang gagal bezakan tajuk berita media dengan apa yang saya ucap sebenarnya. Saya saman,” katanya di Facebook.

Jumaat lalu, Chegubard dalam catatan di Facebook mendakwa Najib menipu dalam satu majlis di Pulau Pinang bahawa beliau tidak pernah menyebut “Apa lagi Cina mahu”. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram