Anggota polis ditemui rentung dalam kebakaran bersama senjata api di sebelahnya



TAWAU – Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan bilik sebuah rumah di Taman King Fook, Jalan Utara hari ini dikenal pasti sebagai anggota polis berpangkat lans koperal.

Jasmin berkata, mangsa adalah seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.


“Sewaktu pihak polis tiba di lokasi kejadian memang mendapati mangsa berada di sebuah bilik yang terbakar serta keadaan pintu terkunci.

“Anggota bertugas terpaksa meminta bantuan pasukan bomba untuk masuk ke dalam bilik.

“Mayat sudah di bawa ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu, difahamkan, mayat lans koperal berusia 35 tahun itu mempunyai kesan kecederaan pada kepala, dipercayai akibat tembakan selain turut ditemukan sepucuk senjata api dipercayai milik mangsa yang terletak bersebelahannya.


Diminta mengulas lanjut berhubung kesan tembakan itu, Jasmin berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Perkara itu masih dalam siasatan (kesan tembakan pada kepala) sebab bedah siasat belum dijalankan.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat atau jenayah,” katanya. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram