Kuala Lumpur: Seorang imam sebuah masjid di Rantau Panjang di Klang antara lapan individu yang ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan, awal pagi tadi.
Lelaki berusia 20 tahun itu melakukan aksi berbahaya sambil menunggang motosikal dengan memakai jubah.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dijalankan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).
Menurutnya, dalam operasi itu, seramai lapan penunggang motosikal, berusia 14 hingga 24 tahun, ditahan selepas dikesan menunggang secara berbahaya.
Katanya, semua suspek ditahan di sekitar Shah Alam, Klang dan Kuala Lumpur oleh anggota operasi yang menjalankan risikan.
"Penunggang motosikal didapati melakukan aksi 'Superman' sambil menunggang pada kelajuan tinggi.
"Mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Klang Selatan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Join our Telegram Channel