Pemandu langgar mati 8 remaja basikal lajak dipenjara 6 tahun



JOHOR BAHRU – Seorang pemandu wanita yang sebelum ini dilepas dan dibebas daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara enam tahun bermula hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 kepada Sam Ke Ting, 27, yang mana jika gagal bayar akan ditambah hukuman penjara enam bulan.


Selain itu, tertuduh juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar memberitahu, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara bersumpah bersifat penafian semata-mata bahawa responden tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar kumpulan nasihat dan telah melarikan diri.

“Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” ujarnya sebelum menjatuhkan hukuman.

Tertuduh yang hadir ke pekarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian kemeja putih berbelang dan berseluar panjang berwarna coklat itu hanya kelihatan tenang selepas hukuman dijatuhkan.


Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru mengekalkan keputusan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan yang berlaku pada 18 Februari 2017.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi.

Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram