PRU sebelum Aidiladha lebih baik bagi BN, kata pakar



PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang terbaik untuk memenangi semula kuasa jika pilihan raya umum akan datang (PRU15) diadakan sebelum Hari Raya Aidiladha, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Pawi berkata, peluang gabungan itu akan berkurangan separuh selepas Aidiladha “kerana pembangkang akan mencari jalan untuk mengurangkan perselisihan antara parti komponen mereka menjelang tempoh itu”.

Jika BN tidak mengambil kesempatan daripada perpecahan pembangkang, peluang kemenangannya menjelang akhir tahun ini adalah tipis, katanya.


Aidiladha jatuh pada 10 Julai, manakala perjanjian kepercayaan dan perbekalan antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob akan tamat pada 31 Julai.

Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan semalam bahawa perjanjian itu tidak patut dilanjutkan selepas ia tamat, dan turut menamakan Ismail, yang juga naib presiden parti, sebagai calon perdana menteri selepas PRU15.

Ismail kemudiannya berkata, perubahan masih boleh berlaku pada akhir Julai.

Keputusan Umno untuk tidak melanjutkan perjanjian itu menunjukkan hasratnya untuk menggesa agar PRU15 diadakan dalam masa terdekat, kata felo Majlis Profesor Jeniri Amir.

Beliau berkata, Umno akan bergantung kepada prestasi buruk PH pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Sarawak dan Melaka, serta momentum yang diperoleh partinya setakat ini.


Pada PRN Johor dan Melaka, BN berjaya meraih kemenangan besar, memperoleh dua pertiga majoriti di kedua-dua DUN. Gabungan Parti Sarawak turut menunjukkan prestasi yang baik pada PRN Sarawak, dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan.

Jeniri memberitahu FMT, jika Umno melanjutkan MoU dengan PH setahun lagi, sentimen rakyat akan berubah dan nasib mungkin tidak lagi menyebelahi mereka.

Bulan lepas, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa Ismail menangguhkan PRU15 dan melanjutkan MoU dengan PH selepas 31 Julai. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram