Remaja perempuan 16 tahun kelar pemandu e-hailing



Polis telah menahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun selepas didakwa mengelar leher seorang pemandu e-hailing.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata kejadian berlaku pada 2.55 pagi semalam di Jalan Kovil Hilir, Jalan Ipoh Kuala Lumpur selepas dia didakwa enggan membayar tambang RM400 yang dipersetujuinya.

Pemandu berusia 63 tahun itu telah menjemputnya dari Sagil, Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur menggunakan aplikasi MyCar.


"Setelah sampai ke destinasi di Kovil Hilir, Jalan Ipoh, mangsa telah memberitahu suspek jumlah tambang yang dipersetujui untuk dibayar iaitu sebanyak RM400.

"Namun, suspek enggan membayar kerana tidak mempunyai wang dan mangsa membuat keputusan untuk menghantar suspek ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

"Oleh kerana takut, suspek telah bertindak mengelar Ieher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat dan kemudiannya melarikan diri. Suspek juga telah meninggalkan pisau lipat yang digunakan olehnya di dalam kereta mangsa.

"Mangsa kemudiannya telah memandu menuju ke Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan dan beliau telah dihantar Hospital Besar Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataannya, semalam.


Beh berkata bahawa suspek merupakan warga tempatan telah ditahan pada 4.55 petang semalam di sebuah premis perniagaan di hadapan Maybank Jinjang Kuala Lumpur.

"Suspek yang ditangkap tidak mempunyal sebarang rekod kesalahan jenayah lampau. Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya," katanya lagi. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram