10 bulan nikah baru sedar suami adalah perempuan



JAMBI: Kecurigaan keluarga seorang perempuan dari Kota Jambi terhadap suaminya, Ahnaf Arrafif, terbukti ada asasnya apabila individu berkenaan disahkan seorang perempuan.

Wanita berkenaan, yang hanya dikenali sebagai NA dalam dokumen mahkamah, berkata beliau sama sekali tidak menyangka sebenarnya berkahwin dengan seorang wanita selepas 10 bulan mereka berumah tangga.

Mendedahkan perkara itu di mahkamah, wanita itu berkata beliau tidak pernah mengesyaki 'suaminya' itu adalah seorang perempuan.


"Awalnya, dia mengaku bekerja sebagai doktor dengan memiliki banyak kelayakan akademik dari luar negara," katanya dalam keterangan di mahkamah berhubung kes 'suaminya' yang didakwa kerana pemalsuan berhubung kelayakan sebagai doktor.

Kes didengari Ketua Hakim Alex Pasaribu bersama Hakim Rintis Candra dan Hakim Fytta Imelda Sipayung.

Menurut wanita berkenaan, dia berkenalan dengan 'suaminya' yang menggunakan nama Ahnaf Arrafif, menerusi satu aplikasi temu janji, Tantan.

"Ketika itu, penampilannya adalah seperti lelaki dan tinggal di wilayah Lahat, Sumatera Selatan," katanya.

Tambah beliau, perkenalan dengan individu yang nama asalnya itu adalah Erayani, terlampau singkat iaitu hanya dua minggu dan kemudian sempat tinggal selama seminggu di rumah bakal isterinya itu di Jambi.


Selama tinggal di rumah wanita itu, Erayani, dikatakan bersikap baik dan mengaku bekerja sebagai doktor serta membantu merawat ibu bapa wanita terbabit, yang ketika itu sedang sakit.

'Lelaki' itu kemudian mengajak NE berkahwin dan perkahwinan mendapat restu daripada keluarga wanita terbabit dan keluarga angkat 'suami'.

Mereka dinikahkan dengan wali hakim berikutan ayah wanita itu dalam keadaan sakit, seperti juga ibunya.

Selama beberapa bulan berkahwin, wanita itu juga sering bertanya asal usul 'suaminya' itu, namun 'lelaki' itu tidak pernah terjawab.

Wanita juga mengaku tidak pernah bertemu keluarga kandung 'suaminya' dan hanya dibawa ke Lahat pada Disember 2021, bagi menemui ibu bapa angkat kepada 'suaminya' itu.


Tidak pernah lihat kelamin


Selepas empat bulan berkahwin, ibu kepada wanita berkenaan mulai curiga dengan menantunya yang tidak pernah membuka baju di depan orang.

Selama berkahwin, wanita terbabit juga mengakui belum pernah melihat alat kelamin suaminya.

Eriyani juga pernah mengaku kepada isterinya bahawa dia memiliki hormon berlainan sehingga terjadi benjolan pada bahagian dada, yang sebenarnya adalah payudara.

Bagaimanapun, rahsianya terbongkar selepas ibu kepada wanita berkenaan memaksa 'lelaki itu' membuktikan jantinanya.

Susulan kejadian, ibu wanita berkenaan membuat laporan kepada pihak berkuasa dan kemudian dirujuk kepada jabatan Pengadilan Negeri Jambi. – Agensi



Join our Telegram Channel
Telegram