Bakar rumah, kenderaan kerana gaduh dengan isteri



PETALING JAYA: Seorang lelaki membakar rumahnya dan memusnahkan kereta sendiri hanya disebabkan perselisihan faham dengan isteri.

Susulan tindakan itu, badan lelaki berusia 62 tahun itu melecur 40% dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan malam tadi.


Ketua Polis Daerah Keningau, Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.36 malam Jumaat.

“Menurut saksi, tubuh mangsa melecur ketika menyalakan api.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit berselisih faham dengan isterinya sehingga sanggup membakar rumahnya sendiri,” katanya menurut laporan Harian Metro.


Jurucakap pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, lapan anggota bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, rumah mangsa terbakar sepenuhnya, manakala trak pikap Isuzu D Max terbakar 30%.

Katanya, lelaki itu diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan sejam kemudian. – FMT









Join our Telegram Channel
Telegram