PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan kenaikan jumlah bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi golongan B40, iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 kepada golongan bujang.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pertambahan peruntukan BKM berjumlah RM630 juta itu membabitkan 8.6 juta penerima.
Bayaran tambahan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini.
“Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.
“Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” katanya pada sidang media khas.
Katanya, setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.74 bilion bagi BKM Fasa 2.
“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40, terutamanya bagi menyambut Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan seperti dijadualkan.
“Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500, tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan mana-mana kerajaan,” katanya.
Ismail berkata, BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi manfaat golongan B40 dengan semakan status pembayaran boleh dibuat bermula Isnin.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi. – FMT
Join our Telegram Channel