Najib mohon batal sabitan kes SRC, Hakim Nazlan ada konflik kepentingan



KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak mahu membatalkan pensabitan kes berkaitan SRC International dengan memberi alasan Hakim Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik berkepentingan.

Dalam sidang media di kompleks mahkamah, Najib memaklumkan beliau sudah mengarahkan pasukan peguam diketuai Shafee Abdullah memohon untuk menampilkan keterangan baharu.

Perkembangan ini menyusuli laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka siasatan berhubung dakwaan wang berjumlah lebih RM1 juta yang tidak dijelaskan dalam akaun bank Nazlan.

Nazlan merupakan hakim yang mensabitkan Najib apabila kes berkaitan SRC International dibicarakan di Mahkamah Tinggi.


Nazlan membuat laporan polis berhubung dakwaan berkaitan, dengan mengatakan ia adalah “palsu, tidak berasas serta berniat jahat”, untuk mencemar kebolehpercayaan terhadap dirinya selaku hakim.

Nazlan pada 2020 mensabitkan kesalahan ke atas Najib dan menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Rayuan Najib kini menanti pendengaran di Mahkamah Persekutuan.

Shafee berkata, permohonan berkenaan disokong afidavit daripada Najib dan mengandungi dakwaan serius berkaitan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mendapat perbicaraan adil di Mahkamah Tinggi.

Katanya, mereka mendapati SRC International ditubuhkan Maybank Investment Bank Berhad, anak syarikat kepada Malayan Banking Bhd (Maybank), berfungsi sebagai “penasihat penyelidikan”.

Katanya, ia juga dilakukan bersama dengan anak syarikat Maybank Investment, BinaFikir Sdn Bhd.

“Lebih menarik, kami mendapati Nazlan bersama Maybank ketika tempoh berkenaan. Beliau pada satu peringkat menjadi peguam am dan setiausaha syarikat bagi keseluruhan Kumpulan Maybank, sehingga beliau meletakkan jawatan.


“Ini bermakna, beliau mempunyai pengetahuan sebenar berhubung bagaimana Maybank terbabit dalam pembentukan dan penstrukturan SRC International,” kata Shafee.

Shafee juga berkata, mereka turut mendapati RM42 juta dimasukkan dalam akaun Najib, yang menjadi sebahagian pertuduhan awal, adalah sebahagian kemudahan pinjaman daripada Maybank kepada Putra Perdana Development (PPD), dan bukannya daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Katanya, Nazlan, pihak pendakwaan dan agensi penguat kuasa berkaitan gagal mendedahkan perkara berkenaan walaupun hakim itu mungkin mempunyai pengetahuan tertentu berhubung kemudahan pinjaman diberikan Maybank.

Beliau menambah, Nazlan yang juga peguam am ketika kemudahan pinjaman RM4.17 bilion diluluskan kepada 1MDB bagi pengambilalihan syarikat pengeluar tenaga bebas, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd.

“Ini meletakkan keadilan pada Nazlan pada kedudukan berpotensi menjadi saksi dalam kes 1MDB. Najib berdepan pertuduhan di mahkamah sesyen berhubung kes 1MDB, pada 20 Sept 2018, di mana perbicaraan SRC belum lagi bermula.


“Walaupun mempunyai pengetahuan peribadi dalam pembabitannya dalam pinjaman kepada 1MDB dan mengetahui bahawa Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi berlainan (bagi kes 1MDB) di mana beliau berpotensi menjadi saksi, Nazlan gagal mengisytiharkan pembabitan peribadi atau kepentingannya dalam kes berkenaan.”

Shafee mahu mahkamah atasan mendengar permohonan sebelum bersidang berhubung rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, sambil menyatakan sekiranya Mahkamah Persekutuan bersetuju, penghakiman Nazlan terbatal kerana pelanggaran peraturan berat sebelah.

“Terdapat bahaya berat sebelah susulan hakim mempunyai pengetahuan berhubung SRC dan 1MDB. Beliau tidak sepatutnya mendengar kes. Beliau sepatutnya secara sukarela mengundurkan diri.

“Najib langsung tidak berpeluang dalam perbicaraan (Mahkamah Tinggi) kerana perbicaraan berjalan secara tidak adil, memandangkan hakim mengetuai perbicaraan berdepan konflik kepentingan besar dalam sekurang-kurangnya di tiga ke empat bahagian,” kata Shafee. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram