Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan sebelum Julai 2023.
Dia yang juga naib presiden Umno berkata pilihan raya paling lewat boleh diadakan pada Julai (2023), apabila tamat tempoh (penggal) bagi pilihan raya umum yang lalu.
"Walaupun tamat tempoh Julai, ianya lebih kurang setahun sahaja dari sekarang, setahun tidak lama bagi parti-parti politik menghadapi pilihan raya, setahun bukanlah jangka masa yang lama.
"Sebab itu kita kena bersedia sentiasa, itu kalau paling lewat setahun, pilihan raya mungkin diadakan lebih awal dari tarikh akhir penggal.
"Maknanya kalau paling lewat setahun, kalau lebih awal jangka masa itu lebih dekat, sebab itulah saya minta di Bera ini, semua jentera, tak kira Umno, Barisan Nasional perlu sentiasa bersiap siaga, kerana akhirnya pilihan raya akan tiba juga," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas dengan petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita di Bera, hari ini.
Khamis lalu, Dr Mahathir Mohamad berpendapat tarikh sesuai untuk diadakan PRU15 ialah sehingga habis penggal pada hujung Julai 2023.
Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata BN dilihat mahu mengambil peluang terhadap parti lawan membabitkan tarikh PRU15.
Mengulas mengenai perjumpaan bersama petugas JR diadakan itu, Ismail berkata, dia bangga kerana usaha diadakan membabitkan sayap wanita dari Umno, MCA dan MIC melakukan kajian sikap pengundi di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, dia enggan mengesahkan perjumpaan terbabit sebagai tanda bahawa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.
"Soal bila pilihan raya, saya dah bagitahu jangan tanya, tapi perlu bersedia, bersiap siaga.
Join our Telegram Channel