Warga emas maut dipukul jiran bergaduh kerana pokok



PETALING JAYA: Warga emas dipercayai maut selepas dipukul jirannya menggunakan kayu susulan tidak puas hati mangsa menanam pokok yang menyukarkan laluan kenderaannya, dalam kejadian di Jalan Kelochor, Kota Bharu, tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata suspek berumur pertengahan 60-an mengaku memukul mangsa dengan sebatang kayu akibat perselisihan faham berkenaan.


“Suspek bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu dan mangsa bertindak melarikan diri pulang ke rumahnya sebelum mangsa ditemui isterinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumahnya.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa terdapat kesan luka serta bengkak pada bahagian belakang kepala serta kesan calar pada tangan dan penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, hasil bedah siasat dijalankan mendapati kematian manga berpunca daripada serangan jantung disebabkan kesakitan akibat kecederaan dialami mangsa.

Zaki berkata, kejadian dipercayai berlaku di laluan hadapan rumah suspek, bertentangan dengan bahagian belakang rumah mangsa.


“Susulan itu, pihak polis berjaya menahan suspek serta merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, See Toh Yuat Shya, 69, berkata ketika kejadian dia baharu hendak bersarapan.

Bagaimanapun, katanya, apabila terdengar bunyi bising suara jirannya, dia kemudian menjengah keluar dari pintu bahagian dapur dan terkejut melihat mendiang suaminya, Hor Keng Wah, 69, sudah terbaring.

“Mendiang suami saya seorang pendiam dan kejadian pada pagi tadi benar-benar mengejutkan, apatah lagi mengenali individu yang memukul suami kerana kami hidup berjiran.

“Lelaki yang memukul suami saya tidak tinggal di sini, sebaliknya dia tinggal di tempat lain dan kerap datang ke rumah itu untuk mengemas,” katanya.



Join our Telegram Channel
Telegram