SHAH ALAM: Presiden PKR Anwar Ibrahim menutup pintu kerjasama dengan Bersatu sebagai sebahagian daripada ‘khemah besar’ bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
“Jelas. Ini sentimen parti, bukan saya sahaja, Mereka (Bersatu) tidak boleh diterima. Sentimen itu kuat.
“Orang lakukan satu jenayah besar dari segi perjuangan, dia menyebabkan runtuh sebuah kerajaan, mandat kita dikhianati, bukan soal kedudukan peribadi,” kata Anwar kepada pemberita.
Bulan lalu, kepimpinan tertinggi Bersatu dilaporkan sanggup bekerjasama dengan PH untuk menentang BN yang diterajui Umno.
Istilah “khemah besar” dirujuk sebagai cadangan PH membentuk kerjasama dengan parti politik lain untuk menentang BN pada PRU15.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menentang idea itu. Menurut beliau Langkah Sheraton menunjukkan,gabungan itu boleh dikhianati sekali lagi, seperti yang dilakukan oleh Bersatu, apabila ia keluar PH pada Februari 2020 dan membentuk kerajaan baharu dengan sekutu lain.
Pada sidang media selepas kongres PKR di IDCC Shah Alam, Anwar berkata, PH akan “merentasi jambatan apabila tiba masanya” mengenai kemungkinan mengikat kerjasama pasca pilihan raya dengan parti lain.
Menyentuh mengenai memorandum persefahaman (MoU) pembangkang dengan kerajaan, Anwar berkata, PH tidak mahu pilihan raya diadakan tergesa-gesa.
Antara syarat MoU itu termasuk memastikan Parlimen tidak dibubarkan selewat-lewatnya 31 Julai.
Walaupun beberapa pemimpin PH mendesak agar MoU itu dilanjutkan, Umno menentang idea itu kerana partinya mahu PRU disegerakan kerana yakin mencapai kemenangan menyakinkan.
“Kami tidak mahu memaksa pilihan raya umum (diawalkan) kerana terdapat kebimbangan segera yang mesti ditangani,” kata Anwar, merujuk kepada isu kos hidup rakyat yang melambung dan keadaan ekonomi yang masih suram.
Anwar juga berkata, beliau tidak bersetuju dengan ahli PKR memfailkan laporan kepada Jabatan Pertubuhan Pendaftar (JPPM) mempertikaikan proses pemilihan parti baru-baru ini, namun PKR tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka.
PKR telah diberikan notis oleh JPPM untuk menjelaskan keputusan pemilihan parti baru-baru ini selepas badan itu menerima aduan mengenai perkara berkenaan.
Join our Telegram Channel