Kasthuri Patto meroyan dihalau keluar Dewan Rakyat



KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Rashid Hasnon mengusir Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) dari Dewan Rakyat selepas menolak perintah berkaitan penjelasan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

Kasthuri secara berterusan menentang Rashid selepas beliau memutuskan bahawa dakwaan Tajuddin menggunakan kata-kata kasar di Dewan Rakyat tidak direkodkan dalam Hansard Parlimen.

Rashid memberi tiga amaran kepada Kasthuri sebelum mengarahkannya keluar.


Rabu lalu Dewan Rakyat dilaporkan kecoh apabila Tajuddin berang digelar gemar mengeluarkan kenyataan berunsur seksis oleh seorang wakil rakyat DAP.

Beliau menyifatkan kenyataan Teo Nie Ching (PH-Kulai) minggu lalu sebagai tidak senonoh.

Kasthuri kemudian menyerahkan surat kepada Rashid meminta tindakan diambil terhadap Tajuddin atas kelakuannya.

Selain itu, Kasthuri turut mendakwa Tajuddin menggunakan kata-kata kasar apabila mikrofonnya ditutup.

Sebelum Kasthuri diusir, Rashid memberikan masa dua minit kepada Tajuddin memberikan penjelasan berhubung kenyataan seksis yang dikeluarkan sebelum ini.


Tajuddin menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut dan menyifatkan tindakan Kasthuri sebagai menjatuhkan imejnya sebagai Ahli Parlimen.

“Kenyataan itu fitnah dan tohmahan, tujuannya pilihan raya umum (PRU) dah tak lama lagi, mereka cuba ia akan mewujudkan gambaran yang kita ni tak layak jadi wakil rakyat,” tegasnya.

Tajuddin turut menolak dakwaan bahawa beliau tidak menghormati wanita, menurutnya, jika dia berbuat demikian mana mungkin beliau menjadi Ahli Parlimen selama empat penggal di bawah BN.

“Kerana pengundi itu antara mereka wanita, mereka hormati saya, saya hormati mereka. Tapi, dalam dewan ini sebab saya lantang, saya dianggap musuh oleh sesetengah ahli parlimen pembangkang, mereka cari jalan untuk serang dan ia dimulakan oleh PH-Kulai,” katanya.





Join our Telegram Channel
Telegram