TERKINI: MoU tamat, #PRU15 dalam masa terdekat?



PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) sudah mencapai kata sepakat berhubung tarikh akhir memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai 13 Sept tahun lalu.

Ketua Whip PKR, Johari Abdul, berkata keputusan dicapai dengan perdana menteri itu bukan sahaja membabitkan PKR, namun meliputi PH secara keseluruhan.

Bagaimanapun, katanya, perincian kesepakatan yang dicapai itu belum didedahkan oleh pimpinan PH, dan dijangka dimaklumkan dalam tempoh terdekat.


“Keputusan yang dicapai ialah dalam PH, bukan keputusan PKR sahaja. Yang kita faham ialah apa juga keputusan itu membabitkan pimpinan PH dengan perdana menteri.

“Saya difahamkan sudah ada kata sepakat antara pimpinan PH dengan perdana menteri, yang tidak dimaklumkan kepada kami lagi buat masa ini. Besar kemungkinan, sebaik sahaja PH buat keputusan, ia akan diumumkan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini MoU antara kerajaan-pembangkang, susulan terdapat percanggahan mengenai tarikh luput MoU.

Sebelum ini, pengerusi PH yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim, menjelaskan tarikh akhir MoU itu belum muktamad kerana dokumen berkenaan tidak menetapkan tarikh akhir, sebaliknya hanya menyebut tarikh membabitkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, pula dilaporkan berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu memutuskan tidak akan melanjutkan MOU terbabit, selepas 31 Jul.

Berdasarkan semakan, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik menjelaskan dokumen itu hendaklah berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-14.

Dokumen itu juga menjelaskan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Jul. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram