SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir
Mohamad berpandangan bahawa ada kemungkinan Datuk Seri Najib Tun Razak
mendapat pengampunan penuh atas kesalahannya termasuk penyelewengan, pecah
amanah dan salah guna kuasa.
Ujar beliau, ia membolehkan Ahli Parlimen Pekan itu bertanding dalam pilihan
raya umum (PRU) akan datang dan menjadi Perdana Menteri semula.
“Saya tidak fikir Najib menggemari idea untuk masuk penjara. Dia mahu
diampunkan tanpa masuk penjara.
“Sudah tentu hanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah yang boleh memaafkannya,” katanya dalam siaran di
Facebook rasminya pada Khamis.
Ulas Ahli Parlimen Langkawi itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan
berhubung perkara berkenaan sebelum keputusan dibuat.
“Jika dapatan tidak sebulat suara, kemungkinan pengampunan akan diberikan. Ini
adalah hasrat orang rasuah yang percaya bahawa kerajaan yang rasuah akan
bertolak ansur dengan rasuah mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ramai pengundi yang merasakan bahawa mereka
tidak mempunyai alternatif lain dalam memilih pemimpin memandangkan semua ahli
politik korup.
“Nasib baik perkara itu tidak begitu benar. Terdapat ahli politik yang tidak
rasuah, cintakan negara mereka, dan mahu Malaysia sekali lagi menjadi Harimau
Asia.
“Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan yang mahukan Malaysia menjadi sebuah
negara yang hebat. Malangnya NGO bukan parti politik,” menurutnya.
Jelasnya, cara terbaik untuk NGO mencapai perjuangan mereka dalam membersihkan
kerajaan adalah dengan mengundi ahli politik bersih yang tidak berkuasa
sekarang tetapi mahu negara pulih sebagai Harimau Asia.
Join our Telegram Channel