Kerajaan sedia adakan PRU jika PN tarik balik sokongan, kata Ismail



SERDANG: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia mengadakan pilihan raya umum (PRU), jika Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan terhadapnya.

“Kalau sokongan itu ditarik, maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu.

“Kalau semua bersedia ke arah pilihan raya, tiada pilihan untuk kita (selain) mengadakan pilihan raya. Kerajaan bersedia dalam apa jua keadaan, kita sedia,” katanya selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022.

Bagaimanapun, Ismail menegaskan, sebarang tindakan yang bakal diambilnya hanya akan berpandukan kepada kedudukan rasmi PN.


“Mungkin satu, dua orang (pemimpin PN) saja yang mengeluarkan kenyataan (tidak sokong saya) dan ada (pula) dalam kalangan ahli parti berkata, (perkara) ini tidak dibawa ke dalam mesyuarat. Itu (semua) mungkin pandangan peribadi.

“Jadi, saya tak boleh ambil tindakan, (tindakan) mesti berdasarkan kenyataan rasmi parti,” kata Ismail yang juga naib presiden Umno.

Hubungan Ismail dan PN, khususnya Bersatu, selaku tonggak gabungan itu dilaporkan ‘dingin’ susulan beberapa tuntutan parti itu tidak diambil tindakan, termasuk persetujuan bertulis Ismail untuk melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu.

Ismail juga mengundang rasa tidak puas hati Bersatu apabila mengekalkan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi walaupun beliau keluar dari parti itu Mei lalu.


Semalam, The Star melaporkan kepimpinan PN kecewa dan “hilang sabar” dengan selepas beliau dilapor membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

Laporan itu memetik pimpinan PN Sabah berkata, pilihan untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu minggu lalu.

Bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Faiz Na’aman menyifatkan laporan itu sebagai “provokatif” dan menegaskan parti itu akan kekal dengan pendirian sebelum ini dalam memberikan sokongan kepada Ismail. – FMT
 

Join our Telegram Channel
Telegram