Lima lelaki pukul ustaz, pelajar di pusat tahfiz



PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu kes tular serangan di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang, semalam.

Ketua Polis Lipis, Azli Mohd Noor, berkata dalam kejadian itu terdapat lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat berkenaan, di mana tiga daripada mereka menyerang seorang ustaz dan juga seorang pelajar.

Beliau berkata, pada 6.43 petang semalam pengadu iaitu pelajar tahfiz yang dipukul membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila salah seorang suspek tidak puas hati terhadap ustaz tersebut kerana pembayaran makanan di pusat tahfiz berkenaan.


“Dalam kejadian ini mangsa iaitu ustaz terbabit mendapat kecederaan di mata sebelah kanan dengan empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan manakala pelajar tersebut cedera di badan,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas laporan, Azli berkata, hasil serbuan di kawasan Damak, Jerantut, pihaknya berjaya mengenal pasti kelima-lima suspek, dua daripada mereka ditahan manakala tiga lagi masih bebas dan sedang diburu polis.

Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah serta ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

“Kedua-dua tangkapan direman selama empat hari bermula 12 hingga 15 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan pencerobohan kawasan, serta turut disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.” – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Please subscribe

 












Join our Telegram Channel
Telegram