Penjara 2 bulan, denda RM3,000 tepuk punggung wanita



REMBAU – Seorang pemandu lori dipenjara dua bulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Rembau, di sini, hari ini atas tuduhan menepuk punggung seorang wanita di Taman Gembira, Gemencheh, Tampin, 4 Ogos lalu.

Tertuduh, L. Rames, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan, pada 4 Ogos kira-kira pukul 7.10 pagi di tepi jalan, Taman Gembira, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang suri rumah, 48, dengan niat untuk mencabul kehormatannya dengan cara menepuk di bahagian punggung sebelah kanan sebanyak satu kali.


Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan.

Kartini kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dari tarikh tangkapan dibuat dan denda RM 3000, namun sekiranya gagal bayar denda berkenaan 10 bulan penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram