Tekup mati kekasih guna bantal berang minta ‘putus’



PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki dipercayai membunuh kekasihnya dengan menekup muka menggunakan bantal, susulan berang mangsa mahu memutuskan hubungan mereka, dalam kejadian di sebuah rumah, di Kampung Pandan, Klang.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan lokasi kejadian dipercayai dalam usaha untuk melarikan diri.

Beliau berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan kenalannya iaitu remaja berkenaan meminta bantuan untuk mengambilnya di Kampung Pandan kerana dia sudah menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga tidak sedarkan diri.


Katanya, pihak polis kemudian ke lokasi tempat kejadian dan menemui mangsa iaitu seorang wanita berusia 24 tahun dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Bertindak atas maklumat pada 9.20 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan suspek warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes ini berdekatan lokasi kejadian,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengannya,” katanya.


Beliau berkata, semasa tangkapan dibuat, polis merampas pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Katanya, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sudah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Pihak polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan siasatan dalam tempoh masa yang terdekat,” katanya.

Cha berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 31 Ogos ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – FMT


 

Join our Telegram Channel
Telegram