Menteri Kewangan Tengku Zafrul Zainal Abidin dilantik bendahari BN Selangor yang baru.
Pengerusi BN Selangor Noh Omar mengumumkan pelantikan itu semasa menutup konvensyen BN negeri di Setia Alam malam tadi.
Zafrul akan menggantikan Jamal Md Yunos yang kini ketua komunikasi BN Selangor.
“Dengan sedikit rombakan, sekurang-kurangnya ia akan memberi semangat baru untuk kita terus berjuang untuk pastikan BN Selangor bangkit.
“Insya-Allah, kita akan teruskan perjuangan untuk pastikan BN berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Noh.
Zafrul - memakai baju biru BN - kemudian menyertai pemimpin gabungan itu di atas pentas dan menerima watikah pelantikannya sambil diapit oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri kewangan itu sebelum ini dianggap tidak berparti sehingga keahlian Umnonya disahkan pada Mei.
Dia dilaporkan mengintai peluang bertanding di parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Hasratnya untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai 'Daerah Angkat' Kementerian Kewangan mengundang kritikan.
Jelas Zafrul, rancangannya itu supaya daerah berkenaan dapat dimajukan semaksimum mungkin seiring dengan projek pembinaaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.
Join our Telegram Channel