Zuraida sahkan PBM mohon join BN belum beri jawapan



PETALING JAYA: Barisan Nasional belum memberi maklum balas berhubung permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai gabungan itu.

Bakal Presiden PBM, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya menghantar surat permohonan untuk menyertai BN pada tiga minggu lalu.

“Jadi kita masih menunggu jawapan lagi,” kata Zuraida menurut MalaysiaGazette.

Jun lalu, Zuraida selepas diumum sebagai bakal presiden PBM memaklumkan akan mengetuai perbincangan parti itu dengan BN untuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


Susulan itu, Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN memaklumkan pihaknya terbuka untuk menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsip BN termasuk PBM.

Bagaimanapun, selepas pengumuman itu, BN Ampang menolak untuk bekerjasama dengan Zuraida bagi menghadapi PRU dengan alasan pihaknya tidak boleh bekerjasama dengan PBM kerana mereka adalah golongan meninggalkan PKR dan pernah menjadi lawan kepada BN.

Bantahan itu dibuat menerusi kain rentang yang dipasang di sekitar kawasan Parlimen berkenaan termasuk di depan pejabat Umno Bahagian Ampang. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram