DAP idam kerusi Parlimen majoriti Melayu



ALOR SETAR: DAP menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi mengubah persepsi atau fitnah terhadap parti itu yang dikatakan bersifat perkauman.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerusi yang pernah ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya lalu menjadi pertimbangan mereka.

“Itu sebabnya kita tawarkan diri untuk berkhidmat, bertanding di kerusi majoriti Melayu untuk buktikan bahawa kita bukan anti Melayu. Kebanyakan kerusi yang ingin kita tanding itu asasnya adalah kerusi yang ditandingi oleh Bersatu pada PRU lepas.


“Ada juga hasrat daripada DAP Kedah nak bertanding Parlimen dan kita akan bawa ke Pusat. Kita akan berunding dengan rakan komponen kalau mereka setuju. Kita tuntut bukan sebab saja-saja minta kerana kita tawarkan diri di kerusi yang ada keahlian, cawangan dan gerak kerja. Kita harap dapat buang persepsi DAP anti Melayu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Kedah di sini hari ini.

Tanpa menamakan kerusi yang menjadi idaman DAP itu, Anthony Loke berkata, rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) kini berada pada fasa terakhir dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Itu proses biasa, rundingan akan selesai sebelum penamaan calon. Ketika ini masih di peringkat jawatan kuasa rundingan, kalau tak selesai lagi, akan bagi kepada pimpinan tertinggi setiap parti,” katanya.


Beliau pada masa yang sama menempelak kenyataan Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin yang disifatkan memfitnah DAP apabila mengatakan parti itu anti Melayu dan anti Islam.

“Pas tukar hujah dia macam perubahan iklim juga. Dia tengok musim. Adakah hujah itu terpakai ketika dia (Pas) bersama kita? Dia kata perlembagaan parti kita tak ikut Perlembagaan Persekutuan? Dia tak tahu ka itu masa dia dengan kita. Masa dia dengan kita dia tak ada masalah.

“Kalau dia kata perjuangan kita tak ikut perlembagaan mengapa tak bantah ketika itu? Kenapa masih nak kerjasama dengan kita ketika itu? Itu perkara paling asas. Pemimpin Pas ini cukup-cukuplah, namanya pemimpin Pas patut hormat kepada ajaran agama (kerana) kalau ajaran agama tak fitnah,” katanya.  – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram