Mati dihempap ketika curi tabung ekzos



KUALA LANGAT – Malang menimpa seorang pencuri apabila maut dihempap kereta ketika cuba mencuri tabung ekzos kenderaan tersebut di tepi jalan Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang di sini semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian antara pukul 4 hingga 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan dari pembantu perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang telah merawat seorang pesakit warga tempatan yang terbaring dan meninggal dunia di tepi sebuah kenderaan jenis Honda Accord.


Katanya, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek dan rakannya dipercayai sedang mencuri tabung ekzos kereta.

“Pengangkat kereta digunakan mereka secara tiba-tiba telah terjatuh dan menghempap suspek yang berada tengah-tengah bahagian kereta dibawah tabung ekzos kenderaan tersebut.

“Susulan itu, suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Ahmad Ridhwan, semakan mendapati suspek yang meninggal dunia itu mempunyai sembilan rekod lampau iaitu tujuh jenayah dan dua dadah.


“Polis turut berjaya menahan rakan suspek berusia 32 tahun yang merupakan warga tempatan kira-kira pukul 10.45 pagi hari sama di di sekitar kawasan Telok Panglima Garang.

“Semakan turut mendapati suspek kedua ini juga mempunyai tujuh rekod jenayah melibatkan kes curi ekzos dan pecah rumah serta dua rekod narkotik,” jelasnya.

Beliau menegaskan permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram