#PRU15: Anwar janji kurangkan gaji, elaun PM



Ipoh: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji perkara pertama yang akan dilakukannya sejurus sekiranya diberikan mandat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah memotong kadar elaun dan gaji Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berjanji sedia untuk gaji dan elaunnya dipotong yang mana itu tindakan pertama yang akan dilakukannya sebaik sah bergelar sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Anwar turut menegaskan, pengurangan dan pemotongan gaji juga akan turut dilakukan ke atas semua ahli Kabinet, iaitu Jemaah Menteri serta memberi jaminan bilangan anggota Kabinet juga akan dikurangkan.


"Ini kesediaan saya dan ia tidak mustahil kerana yakin kesedaran rakyat. Kalau mahu Anwar jadi Perdana Menteri, Kabinet mesti dikurangkan, gaji Perdana Menteri dan Menteri mesti dikurangkan kerana kita mesti kemukakan contoh yang baik.

"Biar saya beri jaminan. Jika 20 November nanti (bila) saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri.

"Saya hendak beritahu, kalau (dengan keadaan) ekonomi sekarang, saya tak sanggup ambil gaji sekarang. Kita harus kemuka barisan pimpinan yang kasih kepada rakyat dan baru rakyat kasih," katanya ketika berucap pada Konvensyen PH Nasional di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram