8 ADUN PH tandatangan SD sokong Wan Rosdy jadi MB Pahang



KUANTAN: Lapan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri besar.

Perkara itu disahkan Sim Chon Siang yang memenangi DUN Teruntum.

Beliau berkata, proses menandatangani SD itu berlangsung di sebuah pejabat peguam di Temerloh, dekat sini, hari ini.


Sim berkata, wakil rakyat lain yang bersamanya menandatangani SD di pejabat peguam ialah Chan Chun Kuang (Semambu), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Woo Chee Wan (Mentakab) dan Thomas Su Keong Siong (Ketari).

Katanya, tiga lagi calon PH, iaitu Ho Chi Yang (Tanah Rata), Leong Yu Man (Triang) dan Lee Chin Chen (Bilut) dijangka berbuat demikian hari ini.

“Kami difahamkan perbincangan dengan BN Pahang mengenai pembentukan kerajaan negeri masih berjalan,” katanya semasa dihubungi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar semasa dihubungi memaklumkan tiada keputusan dicapai dalam perbincangan pembentukan kerajaan negeri antara PN dan BN negeri setakat ini.

PN Pahang diwakili Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam perbincangan itu.


Sehingga kini, Wan Rosdy masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perbincangan pembentukan negeri.

DUN Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi dan PH (8).

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, namun proses pengundian DUN Tioman ditetapkan 7 Dis ini, susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian, dipercayai akibat serangan jantung. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram