#PRU15: PAS janji tumbang 20 ekor lembu jika menang di Tumpat



Sebanyak 20 ekor lembu akan disembelih dan diagih kepada pengundi sekiranya PAS berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tumpat dengan majoriti 20,000 undi.

Itu janji Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang turut berkeyakinan pengundi di kawasan Tumpat akan terus setia bersama parti itu dan akan mengundi PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Hari itu (menang) majoriti 17,000, kali ini hendak (majoriti) 20,000. Dulu kita sendiri boleh 17,000. Kali ini kita tak sendirian.


“Kalau boleh 20,000 (majoriti) kita sembelih 20 ekor lembu ttidak mustahil insya-Allah. Kita undi PAS bukan kerana calon tapi kerana perjuangan,” katanya ketika berucap di Tumpat malam tadi.

Pada PRU lalu, kerusi Parlimen Tumpat dimenangi PAS menerusi Che Abdullah Mat Nawi dengan 17,500 undi menewaskan calon BN, Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan (PH) Nordin Salleh.

Bagaimanapun, PAS yang kini sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Mumtaz Md Nawi bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Manakala Che Abdullah bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan kerusi berkenaan.


Parlimen Tumpat menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu, Che Abdullah mewakili BN; Mumtaz, PN; Che Mohd Asemari Che Ali Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra); Khairul Azuan Kamarrudin dari Warisan dan Wan Mohd Johari Wan Omar membawa cabaran Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata dia yakin pengundi akan terus mengundi PAS meskipun BN mempertaruhkan Che Abdullah.

“insya-Allah kita undi PAS bukan kerana calon tapi kerana perjuangan. Kalau boleh majoriti 20,000 kita sembelih 20 ekor lembu, ambo (saya) berjanji,” katanya. – malaysiapost 

Join our Telegram Channel
Telegram