Bekas naib presiden PKR yang kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida Kamaruddin, bakal berdepan dengan lapan calon dalam usahanya mempertahankan kerusi parlimen Ampang kali ini.
Daripada lapan calon lain yang mendaftar, empat adalah wanita.
Zuraida yang sempat menjadi ahli Bersatu seketika sebelum meninggalkan keluar untuk menyertai PBM akan bertanding di bawah logo parti barunya itu.
Selain Zuraida, lapan lagi calon yang akan bersaing untuk kerusi Ampang ialah Rodziah Ismail (PH), Ivone Low Yi Wen (BN), Sasha Lyna Abdul Latif (PN), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan), dan tiga calon bebas iaitu M Raveendran, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, dan Tan Hua Meng.
Pada PRU ke-14 hampir lima tahun lalu, Zuraida sebagai calon PH memenangi kerusi Ampang dengan majoriti 41,956 undi.
Semalam, dia menyatakan keyakinannya untuk kekal sebagai ahli parlimen Ampang walaupun PBM bergerak solo dan akan menyokong mana-mana parti yang menjadi kerajaan nanti.
Untuk rekod PBM pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai BN namun sehingga ke saat ini ia tidak mendapat reaksi seperti yang diharapkan.
Katanya, dia percaya orang Ampang memang mengenalinya dan hubungan sesama mereka begitu akrab seperti dalam sebuah keluarga.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel