PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5 sebulan yang akan berada di pasaran Februari tahun depan, umum Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Katanya, golongan yang disasarkan ialah belia berumur hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.
“Pakej prabayar ini ditawarkan pada harga RM30 dengan data 30 gigabait (GB) untuk tempoh enam bulan, dengan kelajuan 3Mbps (megabit sesaat).
“Pengguna bakal menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan persediaan Bantuan Bencana Banjir Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini.
Fahmi berkata pakej itu adalah pakej asas dan syarikat penyedia perkhidmatan dibenarkan untuk menawarkan nilai tambah dalam pakej itu.
Beliau berkata pengenalan pakej itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia.
“Langkah penurunan harga ini jelas membuktikan kerajaan memberi perhatian serius terhadap keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan telekomunikasi pada harga lebih murah dan mampu milik,” katanya dan menambah penyedia perkhidmatan akan mengumumkan mengenai pakej itu kepada pengguna dalam masa terdekat.-Bernama
Pelan Data Perpaduan dinanti-nantikan rakyat
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih mendapat sambutan baik dan pujian daripada orang ramai disebabkan harganya yang murah.
Pengurus jualan Chai Yook Weng, 61, berkata pelan itu akan banyak membantunya mengurangkan perbelanjaan bulanan kerana sekarang beliau melanggan perkhidmatan Internet prabayar yang memerlukan isian semula RM30 sebulan untuk membolehkan beliau membeli data tambahan.
“Saya menanti-nanti untuk membeli pakej ini apabila dikeluarkan di pasaran pada Februari tahun depan. Saya tidak (lagi) perlu membayar RM30 setiap bulan hanya untuk memastikan akses data saya aktif,” katanya.
Turut berkongsi sentimen sama, mekanik Aaron Arvin, 27, yang menghargai lonjakan kelajuan Internet pelan data itu daripada satu megabit sesaat (Mbps) kepada tiga Mbps.
“Untuk tawaran pada harga RM30 dengan data sebanyak 30 gigabit (GB) selama enam bulan, tiga Mbps adalah di atas purata kelajuan internet untuk pelan data yang sama.
“Ini sesuatu yang positif kepada mereka yang tidak mampu mendapatkan pakej dengan harga yang tinggi,” katanya.
Pengguna Twitter @DolRizal berpendapat, pelan tersebut adalah satu langkah baik kementerian untuk menjaga kebajikan golongan B40.
“Itulah yang sepatutnya! Lihat kepada keperluan B40 dahulu. Mereka mungkin golongan yang paling menderita apabila tiba waktu kemelesetan ekonomi nanti,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada separuh harga dan tiga kali ganda kelajuan, dijangka berada di pasaran Februari tahun depan.
Fahmi berkata, pelaksanaan pelan data itu akan melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iatu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Join our Telegram Channel