Sng tawar Zuraida jalan keluar - undur dari politik



Masa untuk bekas ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan sekutunya dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) hampir tamat.

Mereka dikatakan berdepan penyingkiran automatik pada tengah malam ini sekiranya gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar minggu lepas.

Bagaimanapun, Presiden PBM Larry Sng menawarkan mereka jalan keluar yang lebih bermaruah ini walaupun di tengah-tengah desakan supaya dia menyerahkan kuasa kepada Zuraida.

“Mungkin mereka perlu berehat seketika atau berundur daripada politik.


“Pengundi mereka sudah menolak mereka, sebab itu mereka kehilangan wang deposit pada pilihan raya umum ke-15. Tiada siapa yang berminat dengan pendapat mereka lagi,” kata Sng, petik The Vibes hari ini.

Dia juga berkata mereka perlu "bermuhasabah diri."

Perhimpunan Agung Tahunan PBM pada awal Oktober telah memutuskan bahawa Zuraida - yang dianggap bakal presiden parti - secara rasmi akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Sng.

Langkah itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat majlis tertinggi PBM.


Bagaimanapun, Sng menafikan peralihan kuasa itu berlaku, berkata dia masih presiden PBM mengikut Pendaftar Pertubuhan.

Dia kemudian mengisytiharkan mesyuarat majlis tertinggi PBM yang meluluskan peralihan jawatan presiden kepada Zuraida tidak sah dan menggantung jawatannya sebagai pengganti dan 12 anggota parti lain.

Pun begitu, pertikaian mereka diketepikan sementara pilihan raya umum ke-15 berlangsung yang menyaksikan Sng sebagai calon PBM menang kerusi parlimen Julai.

Dalam padada itu, Zuraida dan sekutunya timbalan presiden PBM Haniza Talha kalah PRU15 dengan hilang wang pertaruhan.

Pertikaian itu timbul semula pada hujung minggu lalu dengan Zuraida dan Haniza menuduh Sng menyalahgunakan kuasanya.


Surat tunjuk sebab dikatakan telah dihantar kepada Zuraida dan beberapa ahli PBM lain pada minggu lepas, yang mesti mereka balas selewat-lewatnya hari ini - dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan keahlian mereka gugur secara automatik.

“Jawatankuasa tatatertib parti sangat adil dan telah memberi mereka (yang digantung) ruang yang luas untuk menyatakan pandangan mereka dan untuk menjelaskan pendirian mereka,” kata Sng.

“Pada 17 Disember, dua daripada ahli majlis tertinggi yang digantung itu telah ditarik balik penggantungannya selepas bertemu jawatankuasa tatatertib.

"Apa yang penting bagi saya ialah proses parti perlu dilakukan mengikut perlembagaan parti," katanya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram