Ramasamy: Zahid jadi ‘beban’ Umno, DAP terus serang UMNO



PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata Ahmad Zahid Hamidi akan kekal menjadi duri dalam daging kepada Umno dan kerajaan perpaduan selagi beliau kekal sebagai presiden parti itu.

Ia susulan perhimpunan agung Umno semalam yang meluluskan usul untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti, yang mesti diadakan pada 19 Mei.

“Zahid mungkin tidak terjejas buat masa ini, tetapi dia seolah-olah menjadi ‘beban’ kepada Umno dan sedikit sebanyak kepada Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.


Dilaporkan Umno berbelah bahagi sama ada pertandingan untuk dua jawatan teratas perlu diadakan, dengan ada yang mengatakan ia berisiko memecahbelahkan parti, dan yang lain berkata bahawa ia akan membolehkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan membuktikan bahawa mereka mempunyai sokongan akar umbi.

Timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata Umno tidak boleh diremajakan tanpa membersihkan imejnya yang “dicemari rasuah” terlebih dahulu, sambil menambah bahawa Zahid nampaknya “pemimpin paling tercemar”.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perpaduan mungkin telah mengelak krisis politik serta-merta dengan keputusan Umno untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

“Sakit kepala Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin hilang buat sementara waktu,” kata Ramasamy merujuk kepada hakikat bahawa ia akan memastikan sokongan berterusan Umno terhadap pentadbirannya.


ADUN Perai itu berkata cabaran sebenar PH dan Umno kini ialah bagaimana untuk meningkatkan sokongan daripada kalangan pengundi Melayu pada pilihan raya negeri akan datang.

“Lebih baik Umno berpihak kepada PH daripada tidak ada apa-apa,” katanya.

Enam negeri yang ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan negeri pimpinan PAS, Kedah, Kelantan dan Terengganu, akan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram