Shafee bantah Tengku Maimun lantik hakim mahkamah rayuan padahal ada 7 hakim mahkamah persekutuan yang lain



11 pagi: Mahkamah Persekutuan berhenti rehat buat sementara waktu. Kes itu dijangka disambung semula kemudian.


10.46 pagi: Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya hanya mengetahui bahawa hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais adalah sebahagian daripada panel yang bersidang untuk mendengar permohonan Najib Razak ialah kira-kira jam 9.22 pagi tadi.

Peguam Najib itu memberitahu, atas sebab itulah dia tidak boleh mengemukakan bantahan lebih awal terhadap penyertaan Abu Bakar.


10.43 pagi: Timbalan pendakwa raya V Sithambaram membantah hujah pasukan undang-undang Najib Razak yang didakwanya cuba menentukan bagaimana hakim mahkamah tertinggi sepatutnya dibentuk.

Katanya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sudah memenuhi keperluan Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan semasa memilih hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais untuk menyertai panel bagi mendengar permohonan Najib.

Sithambaram mendakwa usaha pasukan pembelaan Najib untuk menentukan bagaimana panel hakim mahkamah tertinggi negara dibentuk atas alasan berat sebelah adalah boleh ditolak serta menghina.


10.27 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah secara lisan berhujah bahawa terdapat tujuh hakim Mahkamah Persekutuan sekarang yang boleh dipilih untuk bersidang dan mengisi panel panel tertinggi hari ini.

Peguam itu berhujah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mengikut Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, tidak menunjukkan kepentingan keadilan yang menyebabkan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dipilih untuk duduk dalam panel hari ini.

Katanya selain Abu Bakar, terdapat beberapa lagi ahli panel yang boleh dipilih daripada kalangan tujuh hakim Mahkamah Persekutuan.


10.07 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram membalas hujah Shafee mengenai pembabitan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dengan merujuk Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Sithambaram peruntukan itu membolehkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapatkan hakim Mahkamah Rayuan untuk menyertai panel Mahkamah Persekutuan jika mendapati ia perlu demi kepentingan keadilan.


9.58 pagi: Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memohon agar hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais tidak hadir bagi mendengar bantahan awal hari ini.

Shafee berkata ia adalah kerana bantahan awal itu secara peribadi memberi kesan kepada Abu Bakar.


9.46 pagi: Peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan bantahan awal terhadap hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais yang menjadi sebahagian daripada panel bersidang hari ini bagi mendengar semakan bekas perdana menteri.

Peguam veteran itu berhujah bahawa hanya hakim Mahkamah Persekutuan wajar menjadi panel.

Peguam kanan yang mengetuai pasukan pembelaan Najib mengemukakan bantahan dengan merujuk kepada Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram