Amanah keberatan terima individu yang dikenakan tindakan disiplin – Salahuddin



SHAH ALAM: Amanah terbuka menerima penyertaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin, namun keputusan muktamad terletak pada jawatankuasa tertinggi parti, kata Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub.

Setakat ini, katanya, tiada permohonan rasmi diterima daripada Zahidi.

“Biasanya, Amanah secara amalannya menerima permohonan mana-mana pihak yang ingin menyertai parti.


“Namun begitu, sebelum kami buat keputusan, jawatankuasa tertinggi akan berbincang,” katanya selepas menutup seminar Tarbiah Rahmah di sini.

Berhubung nasihat Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan supaya parti komponen kerajaan perpaduan tidak menerima ahli dipecat atau digantung atas dasar saling menghormati rakan dalam pentadbiran, Salahuddin mengakui ada persefahaman dalam prinsip itu.

“Memang pada prinsipnya kami agak keberatan untuk menerima mana-mana anggota yang dikenakan tindakan disiplin, termasuk parti kami. Tapi apa pun, ia memerlukan keputusan daripada mesyuarat rasmi jawatankuasa tertinggi Amanah.”


Semalam, Zahidi mengakui sedang mengintai peluang menyertai Amanah selepas hasratnya menganggotai PKR menerima pelbagai reaksi ahli parti itu.

Beliau mendakwa menerima maklum balas daripada akar umbi di Padang Besar yang menyarankannya menyertai Amanah bagi membantu penduduk setempat, khasnya berkaitan pertanian memandangkan Presidennya, Mohamad Sabu merupakan menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

Bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia itu dipecat Umno selepas bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi pada PRU15. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram