Zahidi pilih Amanah selepas ‘ditolak’ PKR



PADANG BESAR — Selepas dilabel sebagai pemimpin dalam kategori ‘tong sampah’ oleh PKR Perlis, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengalihkan hasratnya menyertai Amanah, parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Parlimen Padang Besar dari 2013 hingga 2022 yang dipecat daripada UMNO selepas bertanding sebagai calon Bebas, tidak menolak kemungkinan bahawa Amanah adalah destinasi politik pilihannya selepas ini.

Katanya, akar umbi menyarankan beliau menyertai Amanah disebabkan perhatian boleh diberikan di kawasan Padang Besar terutamanya berkaitan pertanian oleh kerana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu adalah Presiden Amanah.


“Kita tengah menunggu idea daripada akar umbi ini supaya kita dapat sampaikan kepada pihak di atas (PH) dan kepimpinan Amanah kerana hari ini juga seramai 150 orang hadir di sini hendak menyertai PH sama ada PKR atau Amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Datuk Zahidi Zainul Abidin Bersama Penduduk Padang Besar di Dewan Bukit Jernih, di sini hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dipecat daripada UMNO selepas bertanding sebagai calon Bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

Berikutan pemecatan itu, Zahidi menyatakan hasrat untuk menyertai PH sama ada PKR atau Amanah.


Bagaimanapun semalam Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd Jalil meminta kepemimpinan tertinggi PKR meneliti sebelum membuat keputusan menerima penyertaan Zahidi sebagai ahli parti itu.

Menurut laporan media, langkah tersebut adalah bertujuan bagi menggelakkan PKR menerima pemimpin dalam kategori ‘tong sampah’ sebagai ahli dan mengganggu hubungan antara parti-parti yang menyokong kerajaan Perpaduan.

Asrul Nizan berkata, pergerakan di peringkat akar umbi sememangnya gusar sekiranya parti itu terpaksa menanggung ‘biawak hidup’ apabila menerima kemasukan pemimpin lawan untuk menjadi ahli mereka.

Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Padang Besar, Kapten (B) Mohamad Yahaya dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya sudah berbincang dan mengambil ketetapan bahawa pihaknya terbuka bagi sesiapa yang mahu menyertai parti itu. – BebasNews



Join our Telegram Channel
Telegram