Tiada perbincangan Zahidi sertai PKR, kata Amin



PETALING JAYA: PKR belum mengadakan perbincangan untuk menerima bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia Zahidi Zainul Abidin menyertai parti itu.

Timbalan Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad, berkata sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan diputuskan di peringkat pusat.

“Setahu saya tak ada perbincangan di mana-mana peringkat buat masa ini (penyertaan Zahidi dalam PKR). Dalam soal keanggotaan, Majlis Pimpinan Pusat PKR akan menentukan,” katanya kepada FMT.


Amin yang juga pengerusi PH Perlis bagaimanapun memaklumkan, Zahidi yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Besar ada menghubunginya dan menyatakan hasrat menyertai PKR sebulan lalu, selepas PRU15.

“Ada Zahidi hubungi lebih sebulan lalu. Saya berpegang kepada kebebasan berpersatuan. Beliau boleh mohon, sama ada parti nak terima itu akan dibincang di peringkat parti,” katanya.

Terdahulu, Zahidi yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memaklumkan beliau akan menyertai PKR dan mendakwa “ramai pemimpin lain” daripada parti lamanya akan mengikut jejak langkahnya.


Beliau akan menyerahkan borang keahlian PKR pada 4 Feb, dan mendakwa beberapa pemimpin Umno peringkat kebangsaan berhasrat berbuat perkara sama. – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram