MP PAS minta maaf kenyataan makan menu rahmah anak jadi autisme



Melalui kenyataan balas yang dipersetujui bersama Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Halimah Ali (PN-Kapar) hari ini secara berkias memohon maaf berhubung kenyataannya pada 14 Feb, “sekiranya disalah erti”. 

Ia susulan kenyataannya yang mencetuskan kontroversi berhubung inisiatif Menu Rahmah yang didakwa mengelirukan, sehingga Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) merujuk perkara itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. 

“Kalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti. Andai ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari.

“Niat di hati suara rakyat saya juarai, semak imbang kerajaan Madani. Biar integriti, bukankah itu peranan hakiki? 


“Selaku wakil rakyat, suara rakyat yang diwakili, sudi sekiranya (ia) dirujuk penyata rasmi muka surat 134 hingga 137 pada 14 Februari,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Dalam surat kepada speaker pada 21 Feb, Yii  merujuk kepada perbahasan Halimah mengenai inisiatif Menu Rahmah dan mengaitkannya dengan ancaman kesihatan termasuk kanser dan autisme.

Yii mengemukakan usul agar Halimah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Katanya kenyataan yang dibuatnya pada 14 Feb lalu itu boleh dianggap menghina parlimen.


Sebelum itu, Halimah berulang kali menafikan kecaman ke atasnya, bahawa dia mengaitkan inisiatif Menu Rahmah dengan penyakit kanser.

Malah pemimpin PAS itu meminta sesiapa yang mengecamnya untuk merujuk kepada hansard (rekod rasmi parlimen) untuk membuktikan kenyataan dibuat sebelum ini. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram