‘Umum rehat, Azmin tak tanggungjawab, makan gaji buta’



SHAH ALAM - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengumumkan berehat daripada arena politik disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin menegaskan, sebagai seorang wakil rakyat yang telah dipilih, beliau seharusnya meneruskan khidmat sehingga tamat tempoh penggal.

"Tindakan yang dibuat Azmin jelas menunjukkan beliau seorang wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab terhadap pengundi dan penduduk di kawasan beliau.


"Saya yakin walaupun beliau berehat dan tidak berkhidmat kepada rakyat, Azmin masih menerima elaun sebagai ADUN Bukit Antarabangsa. Adakah pemimpin Perikatan Nasional (PN) memang suka 'makan gaji buta' seperti beberapa duta khas yang dilantik tanpa fungsi era pentadbiran PN dahulu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Penerangan PN itu mengumumkan untuk berehat sebentar daripada arena politik dan mahu membuat perancangan baharu.

Malah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dilaporkan akan terus bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara di masa akan datang.

Dalam pada itu Razeef berpandangan, pengumuman untuk berehat daripada politik seharusnya dibuat bersekali dengan keputusan tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.


Bagaimanapun ujarnya, tindakan Mohamed Azmin itu dibuat ekoran kecewa selepas tewas kepada anak didiknya, Datuk Seri Amirudin Shari di Gombak pada PRU15 lalu, selain khuatir akan wujud kes mahkamah terhadapnya kelak.

"Saya ingin memberitahu Azmin, apa yang beliau lalui hari ini adalah kerana khianat yang dilakukan kepada PKR, Pakatan Harapan dan juga rakyat yang sebelum ini memberikan amanah selaku wakil rakyat Gombak.

"Saya juga ingin menasihatkan Azmin jika ingin berehat, maka berehatlah dari pada berpolitik untuk selama-lamanya memandangkan kredibiliti telah rosak dan tidak mungkin rakyat akan memberikan kepercayaan kepada pengkhianat walau berkali 'reset' politik," tegasnya. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram