Jho Low dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah Kuwait



BANDAR RAYA KUWAIT – Sebuah mahkamah di Kuwait menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atas ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low berhubung peranannya dalam aktiviti pengubahan wang haram yang dicuri daripada dana kekayaan Malaysia atau 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), lapor akhbar New York Post.

Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho dikatakan mengubah wang sekurang-kurangnya AS$1 bilion (RM4.4 bilion) yang dikaitkan dengan sejumlah AS$4.5 bilion (RM19.8 bilion) yang dicuri daripada 1MDB.

Wang yang diubah melalui Kuwait itu dibayar dalam mata wang China bagi membolehkannya berada di luar sistem perbankan Amerika Syarikat serta tidak dapat dikesan oleh Jabatan Keadilan dan para penyiasatnya, demikian menurut seorang sumber.


Anak kepada bekas perdana menteri Kuwait, Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Hamad Al-Sabah dan individu ketiga yang memasuki fakulti perniagaan berprestij bersama-sama Jho Low, iaitu Hamad Al Wazan juga dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

Dua lelaki lain yang turut dijatuhi hukuman ialah Bachar Kiwan, yang kini menetap di Paris serta seorang peguam Kuwait, Saud Abdelmohsan, dengan masing-masing menerima hukuman penjara 10 dan tujuh tahun.

Mereka turut diarahkan untuk memulangkan wang berjumlah AS$1 bilion (RM4.4 bilion) tersebut dan didenda AS$473.2 juta (RM2 bilion) atau 145 juta dinar Kuwait, lapor akhbar Daily Express.


Hukuman tersebut dijatuhi oleh mahkamah tanpa kehadiran Jho Low di mana dia kini dipercayai berada di China.

Sementara itu, menurut laporan akhbar Kuwait, Al-Qabas, pendakwaan awam negara itu mendakwa semua defendan sebagai ‘kumpulan penjenayah terancang’ yang mengubah wang berjumlah AS$1 bilion (RM4.4 bilion) serta sedia maklum bahawa ia diseleweng daripada 1MDB.

“Hukuman itu menunjukkan bahawa pihak berkuasa Kuwait amat serius dalam membanteras kegiatan pengubahan wang haram meskipun ia dilakukan oleh individu yang mempunyai kaitan dengan pegawai berpangkat tinggi,” kata sumber yang sama. – Agensi



Join our Telegram Channel
Telegram