Suntik Liraglutade untuk kawal berat badan boleh batalkan puasa



PENGAMBILAN suntikan Liraglutade untuk mengawal berat badan boleh membatalkan puasa kerana ia bersifat memberi tenaga (mughazzi).

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, satu daripada rawatan terbaharu mengurangkan gula dan memberi manfaat kepada tekanan darah, paras kolestrol dan fungsi pankreas adalah dengan menggunakan hormon Glucagon Like Peptide 1 (GLP-1) agonists.

Jelasnya, fungsi hormon GLP-1 membantu pankreas supaya mengeluarkan insulin secara optimum.


“Insulin itu pula sebagai pembawa gula dalam darah untuk diedarkan ke dalam tisu badan sebagai tenaga.

“Justeru, ia dikira sebagai suntikan yang memberi tenaga kepada manusia,” katanya dalam satu hantaran, semalam.

Zulkifli menambah, sebagai langkah berhati-hati jika pesakit memerlukannya, mungkin suntikan itu boleh dibuat pada malam di bulan Ramadan dengan mendapatkan pandangan dan nasihat doktor.


Liraglutade disuntik pada bahagian perut, meningkatkan rasa kenyang dan puas dengan mengaktifkan bahagian otak tertentu yang mengawal selera sekali gus mengurangkan pengambilan makanan atau kalori seterusnya menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, hanya golongan dewasa yang mengalami obesiti dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 27 kilogram/meter padu (kg/m2) atau BMI melebihi 30 kg/m2, selain mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes jenis dua atau apnea tidur obstruktif (dengkur) sesuai menggunakannya. − UtusanTv



Join our Telegram Channel
Telegram