'America is going to hell' − Donald Trump



NEW YORK – “AS “pergi jahanam,” ucap Donald Trump dalam ucapan selepas mengaku tidak bersalah memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan maklumat yang menjejaskan menjelang pilihan raya 2016.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu didakwa dengan 34 pertuduhan di Mahkamah Manhattan di New York pada hari Selasa.

Pertuduhan ini berkaitan dengan pembayaran wang secara sembunyi kepada bintang lucah Stormy Daniels, yang mendakwa mereka bersekedudukan.

Trump ialah Presiden AS pertama dalam sejarah yang menghadapi perbicaraan jenayah.


“Satu-satunya jenayah yang saya lakukan ialah mempertahankan negara kita tanpa rasa takut kepada mereka yang cuba memusnahkannya,” kata lelaki berusia 76 tahun itu kepada penyokong yang berkumpul di rumahnya di Mar-a-Lago di Florida selepas dia dihadapkan ke mahkamah.

Trump mendakwa, pertuduhan ke atasnya adalah “kes palsu” sebahagian daripada konspirasi Demokrat untuk mengganggu pilihan raya presiden tahun depan, yang mana beliau akan bertanding sekali lagi.

Terdahulu, Trump duduk diam selama hampir sejam semasa prosiding di hadapan Hakim Juan Merchan.

Beliau hanya membuka mulut dengan lantang semasa menjawab soalan hakim dan membuat pengakuan tidak bersalah.


Trump tidak berkata apa-apa kepada pemberita semasa dia meninggalkan mahkamah.

Kes terhadap bekas presiden itu bergantung pada pembayaran secara sembunyi sebanyak AS$130,000 (£104,000) yang dibuat sebelum Pilihan Raya Presiden 2016.

Walaupun pembayaran sedemikian tidak menyalahi undang-undang, pihak pendakwaan berkata, Trump memalsukan rekod perniagaan dan melanggar undang-undang pilihan raya ketika cuba menyembunyikan pembayaran.

Bekas peguamnya, Michael Cohen yang memaklumkan dia yang membuat pembayaran atas arahan Trump.

Setiap pertuduhan membawa hukuman penjara maksimum empat tahun, walaupun seorang hakim boleh menjatuhkan hukuman percubaan kepada Trump jika dia sabit kesalahan. – Agensi



 

Join our Telegram Channel
Telegram