Bekas MB Perlis didakwa terima wang haram RM1.06 juta



Bekas menteri besar Perlis, Azlan Man dihadapkan ke mahkamah untuk kali kedua dalam tempoh tiga hari.

Kali ini, pertumbuhannya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur adalah berhubung pengubahan wang haram membabitkan RM1.06 juta.

Azlan, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azura Alwi.


Dia kemudiannya memohon supaya dibicarakan atas lima pertuduhan pengubahan wang haram itu yang membabitkan RM1,059,675.25.

Kesalahan itu didakwa melibatkan dua syarikat iaitu Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, yang didakwa  berlaku antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017.

Pengubahan wang haram ialah kesalahan menyembunyikan asal usul wang yang diperoleh secara haram itu, lazimnya melalui pemindahan yang melibatkan bank asing atau perniagaan yang sah.

Mahkamah kemudian membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 9 Jun.


Dua hari lalu, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika menjadi menteri besar Perlis.

Azlan adalah Adun Pauh bermula hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, apabila dia ditewaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dia menjadi menteri besar Perlis dari 2013 ke 2022.

Dia juga gagal mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. − Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram